Perlantikan MSN Tidak Sah : UMNO Belakangkan Amalan Federalisme
1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) ingin melahirkan rasa kesal ekoran pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 10 November 2010 berkenaan status Majlis Sukan Negeri (MSN). Beliau sebagaimana yang dilaporkan oleh laman berita online (Harakahdaily dan Malaysiakini) menyatakan bahawa perlantikan Pengerusi MSN bercanggah dengan Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971.
2. Perlu dijelaskan bahawa di dalam akta berkenaan, subseksyen 7(a) telah menjelaskan bahawa pengerusi hendaklah dilantik oleh Menteri dengan berunding dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri tersebut. Manakala 7(b) menjelaskan dua orang Timbalan Pengerusi yang dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri negeri itu, seorang daripadanya ialah Setiausaha Kerajaan Negeri. Malangnya, apa yang diamalkan di negeri Kelantan semenjak tahun 1990 tidak mematuhi peruntukan tersebut di mana Majlis Sukan Negeri (MSN) kini dipengerusikan oleh Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub tanpa sebarang perundingan dengan Menteri Besar Kelantan.
3. Pendedahan yang dibuat oleh ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan semasa menjawab soalan dari Wan Hassan bin Wan Ibrahim (PAS - Semerak) dan soalan tambahan dari Abdul Latiff bin Abdul Rahman (PAS - Mengkebang) itu membuktikan bahawa UMNO selama ini telah membelakangi semangat federalisme yang menjadi tunjang kepada amalan demokrasi berparlimen di Malaysia. Fakta ini dijelaskan dengan sikap kerajaan pusat yang semenjak tahun 1990 telah meng'anak tirikan' Kelantan dari sudut peruntukan pembangunan. Berikut ialah bukti-bukti pengkhianatan UMNO terhadap negeri Kelantan yang majoritinya ialah bangsa Melayu :
3.1 Pembekuan sejumlah 118 projek yang melibat sejumlah 1,086.278 hektar atau melebihi 2500 ekar dari sepuluh jajahan di negeri ini yang bermula dalam RMK 6 hingga sekarang sebagaimana yang didedahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias pada 21 September 2010.
3.2 Penafian terhadap hak untuk mendapatkan royalti minyak yang dikeluarkan dari perut bumi Kelantan dan digantikan dengan wang ehsan yang disalurkan tidak melalui saluran yang sepatutnya.
3.3 Menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang disifatkan sebagai kerajaan dalam kerajaan didapati telah merampas hak kerajaan negeri Kelantan di dalam menerima agihan peruntukan pembangunan yang sepatutnya disalurkan di bawah Rancangan Malaysia (RMK) sejak daripada RMK6 sampailah sekarang memasuki RMK10.
3.4 Keengganan kerajaan pusat membina tembatan banjir di Sungai Golok, walaupun peruntukan untuk projek tersebut telah diluluskan sejak Rancangan Malaysia Ke-7 lagi, seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf pada 15 November 2009.
3.5. Melengah-lengahkan penyaluran geran kewangan tahunan yang sepatutnya dibayar dua kali setahun, tetapi dilewatkan pembayaran dan dibayar sekaligus hanya pada penghujung tahun. Inilah yang berlaku sehingga hari ini. Cara melengah-lengahkan pembayaran itu juga berlaku ke atas pemberian geran wajib yang kepada Kumpulan Wang Rezab Negeri seperti mana termaktub di dalam Perkara 109 dan Perkara 110, Perlembagaan Persekutuan seperti geran perkapita penduduk, geran penyelenggaraan jalan negeri dan geran pembangunan.
4. Senarai pengkhianatan UMNO yang menunjangi kerajaan Pusat ini masih lagi panjang jika mahu diperincikan satu persatu. Justeru, DPPNK menyifatkan pendedahan terbaru yang dibuat oleh ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan sebenarnya hanyalah mengesahkan lagi wajah buruk UMNO apabila berdepan dengan tanggungjawab untuk menghormati demokrasi. UMNO hanyalah pandai beretorik tentang ketuanan Melayu, tetapi merupakan pengkhianat nombor satu terhadap anak bangsanya sendiri khususnya di negeri Kelantan ini.
5. DPPNK juga mendesak agar organisasi MSN dibubarkan dengan segera dan memberikan peluang kepada Menteri Besar Kelantan selaku pemimpin yang dilantik melalui lunas demokrasi untuk menyuarakan pandangan selaras dengan Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971.
Sekian.
Yang menjalankan tugas,
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)


No comments:
Post a Comment